Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BERAKAS, Ahad, 3 Mei. - Kementerian Kesihatan menegaskan keperluan untuk memperkukuh kapasiti penjagaan primer dalam pengesanan awal dan pengurusan penyakit buah pinggang kronik yang kini dihidapi oleh sekitar 42,000 penduduk di negara ini, di samping kos rawatan renal yang terus meningkat sehingga mencecah BND17 juta pada tahun 2025.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berkata, penjagaan primer kekal sebagai titik intervensi pertama dan paling penting.
"Tindakan awal dapat memperlahankan perkembangan penyakit, mengurangkan komplikasi dan melambatkan keperluan untuk rawatan dialisis.
"Ini secara langsung dapat meningkatkan hasil kesihatan pesakit serta menyokong kemampanan sistem penjagaan kesihatan negara," kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Yang Berhormat berkata demikian semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Simposium Renal 2026 Hari Buah Pinggang Sedunia yang berlangsung di Hotel Mulia, Kampung Anggerek Desa, di sini.
Yang Berhormat menambah, Pengamal Perubatan Am memainkan peranan penting dalam usaha tersebut melalui pengukuhan sokongan, penyediaan laluan rawatan yang jelas serta kerjasama dengan perkhidmatan kepakaran.
Menurut Yang Berhormat, penyakit buah pinggang berkembang secara senyap selama bertahun-tahun.
Apabila pesakit telah menghidap penyakit berkenaan di tahap yang sudah lanjut, peluang untuk intervensi awal berkemungkinan besar telah terlepas.
Perkara tersebut mengukuhkan keperluan kepada pendekatan yang lebih terselaras di seluruh sistem penjagaan kesihatan yang menghubungkan pencegahan, pengesanan awal, rawatan dan pengurusan jangka panjang merentasi semua peringkat penjagaan.
Di Negara Brunei Darussalam, jelas Yang Berhormat, Kementerian Kesihatan sedang mengambil langkah yang jelas ke arah usaha tersebut dengan memberi penekanan kepada pengukuhan penjagaan primer dan intervensi awal bagi mengurangkan perkembangan penyakit ke tahap lanjut.
"Pertama, kita akan memperkukuh pengesanan awal melalui pendekatan penyaringan dan stratifikasi risiko yang diselaraskan secara nasional.
"Individu berisiko tinggi, khususnya mereka yang menghidap diabetes, hipertensi, penyakit kardiovaskular dan warga emas perlu dikenal pasti dan dipantau secara konsisten di seluruh sistem," ujar Yang Berhormat.
Selain itu, kata Yang Berhormat, Kementerian Kesihatan juga akan meningkatkan akses kepada terapi berasaskan bukti yang dapat memperlahankan perkembangan penyakit dan mengurangkan komplikasi serta memperkukuh integrasi di seluruh sistem penjagaan kesihatan melalui laluan penjagaan bersama dan rangka kerja rujukan yang jelas.
Terdahulu, Yang Berhormat berkata, penyakit buah pinggang kronik merupakan cabaran global yang semakin meningkat dan menjejaskan kira-kira satu daripada sepuluh orang di seluruh dunia.
Setakat tahun 2025, dianggarkan sebanyak 9.3 peratus daripada penduduk negara ini, iaitu sekitar 42,000 orang daripada jumlah keseluruhan 458,600 penduduk menghidap penyakit buah pinggang kronik.
Pada tahun yang sama, seramai 1,163 individu menerima rawatan bagi penyakit buah pinggang peringkat akhir, mencerminkan peningkatan berterusan dari tahun ke tahun.
"Di bawah Pelan Induk Sistem Kesihatan dan Infrastruktur Penjagaan Kesihatan, perbelanjaan Kementerian Kesihatan bagi tempoh 2015 hingga 2035 diunjurkan meningkat sebanyak 10 peratus menjelang tahun 2025 dan 25 peratus menjelang tahun 2035.
"Walau bagaimanapun, perbelanjaan penjagaan renal telah melebihi unjuran tersebut, meningkat daripada BND9.7 juta pada tahun 2020 kepada sehingga BND17.0 juta pada tahun 2025 iaitu peningkatan keseluruhan kira-kira 75 peratus atau 7.5 kali lebih tinggi daripada unjuran peningkatan 10 peratus.
"Jumlah ini tidak termasuk kos ubat-ubatan renal yang melebihi BND7 juta setahun serta kos berkaitan pemindahan buah pinggang yang ditanggung di dalam dan luar negara yang menunjukkan beban kewangan yang jauh lebih besar dan terus meningkat," kata Yang Berhormat.
Pengurusan penyakit buah pinggang peringkat akhir, khususnya rawatan dialisis, memerlukan pelaburan negara yang besar dan berterusan.
Berdasarkan anggaran kos 'consumables' dan penyampaian rawatan pada tahun 2021, purata kos tahunan bagi rawatan hemodialisis di negara ini adalah sekitar BND30,000 bagi setiap pesakit, manakala dialisis peritoneal automatik pula sekitar BND24,000 bagi setiap pesakit.
Dalam keadaan semasa, jelas Yang Berhormat, kos tersebut dijangka meningkat dengan ketara disebabkan tekanan global termasuk gangguan rantaian bekalan dan kenaikan harga bahan perubatan 'consumables'.
Trend peningkatan ini dijangka berterusan dan akan terus memberi tekanan yang semakin besar terhadap sumber negara dari semasa ke semasa.
Pada masa yang sama, tambah Yang Berhormat, perkembangan dasar penjagaan kesihatan turut membawa pertimbangan baharu apabila didapati sebahagian pesakit bukan warganegara memilih untuk tidak meneruskan rawatan dialisis jangka panjang.
Yang Berhormat berkata, perkara ini menekankan cabaran kompleks berkaitan akses, kemampuan kewangan dan realiti penjagaan sepanjang hayat, selain menggambarkan keputusan sukar yang perlu dihadapi oleh pesakit dan keluarga.
Situasi ini turut menimbulkan pertimbangan penting dari segi kesaksamaan, kualiti hidup serta kemampuan model penjagaan sedia ada dalam memenuhi keperluan pelbagai kumpulan pesakit secara mampan.
Seiring dengan itu, usaha sedang dilaksanakan untuk menubuhkan sebuah yayasan buah pinggang kebangsaan bagi terus menyokong perkhidmatan penjagaan renal di negara ini sebagai satu langkah penting ke hadapan.
"Pada peringkat perkembangan ini, skop sokongan yayasan tersebut akan ditentukan berdasarkan parameter kelayakan yang jelas serta sumber yang tersedia dan tidak semua pesakit mungkin dapat ditanggung sepenuhnya.
"Ini menekankan kepentingan kerjasama berterusan dan tanggungjawab bersama.
"Diharapkan, dari semasa ke semasa, sokongan dapat diperkukuh melalui kerjasama dengan pelbagai organisasi serta inisiatif berasaskan komuniti agar lebih ramai pesakit dapat dibantu mengikut keperluan masing-masing," kata Yang Berhormat.